PEKERJAAN SUATU IBADAH


Tajuk ini sering diperkatakan, namun, sejauh mana kita dapat memahami atau menghayati ungkapan tersebut atau konsep ini supaya ia benar-benar menjadi darah daging dalam kehidupan kita seharian.
Islam amat menitik berat supaya semua umatnya bekerja mencari rezeki yang halal lagi baik. Tuntutan supaya kita bekerja terdapat di dalam al-Quran dalam banyak ayat dan contohnya ayat dalam Surah Al-Qasas, ayat 77 bermaksud
"Dan carilah pada apa yang telah dianugerahkan Allah kepadamu (kebahagiaan) negeri akhirat, dan janganlah kamu melupakan bahagianmu dari (kenikmatan) duniawi."
Terdapat juga penekanan bekerja di dalam Hadis Nabi. Di antaranya :
“Barangsiapa yang menjadi susah pada petang hari kerana kerjanya, maka terampunlah dosanya.” (Hadis riwayat Tabrani)
Begitu juga dengan kehidupan kita di dunia ini. Kehidupan dunia akan menjadi permainan yang begitu nikmat apabila ia diatur dengan begitu rapi, kerja yang bersungguh-sungguh bagi menimati permainan dunia ini.Tugas manusia dalam hidup ini sebenarnya satu sahaja iaitu beribadah kepada Allah S.W.T.
Bekerja, yang berkait dengan mencari nafkah untuk membolehkan berbagai ibadah lain dapat dilaksanakan, merupakan ibadah bila dilaksanakan menepati 3 syarat :

i. Pertama :  niat yang ikhlas,
ii. Kedua    : cara yang benar dan
iii. Ketiga   : tujuannya untuk mencari keredhaan Allah SWT

Etika kerja seorang muslim tidak selalu berorientasikan hasil yang akan dicapainya, yang penting adalah bekerja dengan sebaik-baiknya. Dengan kata lain, tujuan kerjanya bukanlah untuk mendapatkan hasil yang segera ataupun hasil itu bukanlah menjadi matlamatnya kerana kadang-kadang boleh jadi hasil kerjanya itu tidak dinikmatinya secara langsung, bahkan generasi kemudian atau makhluk Allah yang lain menikmati hasilnya. Ini merupakan sedekah bagi dirinya.
Di dalam Al-Quran, Allah S.W.T. juga menegaskan tentang keharusan mencari kurniaan Allah yang mencukupi untuk keperluannya sebagai muslim yang baik, cukup untuk menafkahkan keluarganya, cukup untuk menunaikan perintah Allah yang berkait dengan harta seperti zakat, sedekah, menunaikan ibadah haji dan sebagainya.
Jika untuk mendapatkan rezeki itu seorang muslim harus menempuh perjalanan yang jauh, itu memang diperintah oleh Allah kerana Dia telah menciptakan bumi dengan segala isinya ini untuk manusia.
Allah berfirman yang bermaksud:

 "Dialah yang menjadikan bumi itu mudah bagi kamu, maka berjalanlah di segala penjurunya dan makanlah sebahagian dari rezeki-Nya. Dan hanya kepada-Nyalah kamu (kembali setelah) dibangkitkan" (Surah al-Mulk, ayat 15).

Peringatan yang berbunyi ”Bekerjalah kamu di dunia seolah-olah kamu akan hidup selama-lamanya dan beramallah kamu untuk akhirat seolah-olah kamu akan mati esok hari” menjadi satu azimat dan bukti perlunya bekerja. Oleh itu bekerja bagi seorang muslim adalah kerana menyahut tuntutan agama, untuk kepentingan diri, keluarga, masyarakat dan negaranya.

Oleh kerana bekerja merupakan tugas yang tidak dapat dielakkan dan merupakan tugas tanggungjawab agama, maka pekerja itu mestilah pula mematuhi disiplin, nilai dan etika kerja yang tertentu. Apapun pekerjaan yang dilakukan tidak perlu dipersoalkan dan yang terpenting ialah setiap pekerjaan yang dilakukan itu mestilah sah dan halal dari segi syarak dan undang-undang.
Bekerja dalam Islam memerlukan niat yang baik dan hasil dari niat yang baik menjadikan seseorang itu beramanah, berdisiplin, penuh tanggungjawab dan sentiasa meningkatkan prestasi kerjanya agar ia bertambah maju. Ianya juga tidak akan berputus asa atau kecewa dengan kegagalan atau halangan yang terpaksa ditempuhi dalam melaksanakan pekerjaannya.

Budaya kerja Islam haruslah bermotivasikan kesungguhan dan memupuk sifat dinamik untuk memimpin, bukan selama-lamanya dipimpin dan disuapkan sahaja. Segala kelebihan yang dikurniakan oleh Allah ke atas dirinya perlulah digunakan sepenuhnya demi mencapai kejayaan dalam setiap bidang pekerjaan yang diceburi dan yang paling penting ialah matlamat kerja dalam Islam bukan sahaja untuk berjaya di dunia sahaja tetapi juga sebagai bekalan untuk dibawa ke alam akhirat kelak.
Sebagai kesimpulannya, kita sebagai pekerja dan majikan umpama satu koloni semut yang mempunyai tugas masing-masing. Semuanya mempunyai hak dan peranan untuk maju dan hidup harmoni berlandaskan peraturan-peraturan dan undang-undang syarak ataupun bukan, saling tolong-menolong dan bekerjasama, berkasih sayang dan jauh dari sifat-sifat mazmumah seperti hasad dengki, cemburu, , riya', takabbur, sombong ,syak wasangka, tidak boleh ditegur saling tindas-menindas, berpuak-puak dan sebagainya.
 
Sekian, wassalam.


dipetik dari : http://www.kedah.edu.my

Comments