DR
ASYRAF WAJDI DUSUKI
25 Disember 2013
Gambar sekadar hiasan |
Mungkin kita tidak menyedari kerja dilakukan
dengan penuh dedikasi tanpa unsur penyelewengan akan membawa berkat. Manakala,
perlakuan curang dalam pekerjaan akan membawa padah. Curang dimaksudkan penulis
adalah sikap tidak amanah seperti curi tulang, kerja sambil lewa, menipu
kedatangan, buat kerja sampingan yang tidak memenuhi kontrak pekerjaan
sebagaimana termeterai dengan majikan.
Walhal Islam memandang serius aspek amanah dalam
mengotakan setiap apa yang dipersetujui majikan dan pekerja sebagaimana kontrak
yang ditandatangani. Ini ditegaskan dalam firman ALLAH SWT: “Wahai Orang yang
beriman! Patuhilah setiap perkara yang kalian akadkan (terma yang termaktub
dalam kontrak)”. (Surah Al-Maidah: 1)
Dalam Islam, setiap kontrak seperti jadual masa
kerja, skop dan tanggungjawab kerja ditandatangani antara dua pihak adalah
wajib dipatuhi selagi mengikuti prinsip dan syariat. Implikasi kontrak
dimeterai bukan sahaja terhadap hak sesama manusia, malah kesannya terkait
langsung dengan hak ALLAH.
Hakikatnya, Islam melihat pekerjaan sebagai
suatu yang cukup bernilai. Malah Islam menganggap ‘kasbu al-halal’ atau bekerja
untuk memperoleh pendapatan yang halal adalah suatu jihad (maksud hadis). Oleh
itu, Islam menganjurkan umatnya bekerja keras untuk kebaikan di akhirat dan
kecemerlangan hidup di dunia.
Usaha setiap manusia untuk mencari nafkah halal
bagi menyara diri, keluarga atau membantu kaum kerabat dan jiran tetangga pada
hakikatnya diletakkan setaraf dengan kedudukan berjihad di jalan ALLAH. Itulah
sebabnya ALLAH menerangkan konsep mencari nafkah yang halal dan berjihad ini
dalam ayat yang sama.
“Dan sebahagian manusia berjalan di muka bumi
mencari sebahagian daripada (rezeki) anugerah ALLAH. Sebahagian yang lain pula
berperang di jalan ALLAH.” (Surah Al-Muzammil: 20)
Diriwayatkan Saidina Umar Al-Khattab berkata,
“Keadaan yang paling aku sukai bila ajal menjemput ku adalah apabila aku sedang
berjihad di jalan ALLAH. Kemudian keadaan di mana aku sedang mencari rezeki
kurniaan ALLAH.” Kemudian beliau lantas membaca ayat di atas.
Rasulullah SAW sentiasa memperingatkan golongan
sahabatnya dan umat Islam agar bekerja bersungguh-sungguh bagi mencari rezeki
yang halal dan sah. Setiap pekerjaan baik merupakan ibadah yang bakal mendapat
ganjaran dan maghfirah ALLAH. “Sesiapa yang bermalam dalam keadaan penat kerana
mencari rezeki yang halal maka dia bermalam dalam keampunan (Tuhan)”. (Riwayat
Ibnu Asakir daripada Anas).
Budaya kerja yang disemangati oleh nilai Islam
diharapkan dapat menghindari perbuatan tidak baik dan tidak bermoral dalam
pekerjaan.
Gambar sekadar hiasan |
Kebelakangan ini, semakin meluasnya gaya
hidup menyeleweng seperti terlalu memikirkan diri sendiri (individualistik)
mahupun terlampau taksub hendak jadi kaya dengan jalan pintas (materialistik).
Hilangnya keberkatan bermakna manusia tidak lagi
memperoleh kebahagiaan hakiki dan ketenangan dalam hidup yang dijanjikan ALLAH
kepada orang Islam bertakwa dan bekerja dengan ikhlas mengikut ajaran dan
prinsip Islam sejati.
Ini menyebabkan hidup kita dalam kesulitan,
hubungan suami isteri berantakan, anak bermasalah dan rezeki yang diperoleh
tidak pernah rasa cukup.
Sebaliknya rezeki yang berkat walaupun sedikit
tetap cukup dan memenuhi keperluan hidup yang pelbagai. Menurut ulama, makna
keberkatan sebagai “as-saadah al-haqiqiah” (kebahagiaan hakiki) dan “az-ziadah”
(nilai tambah) dalam kehidupan. Ini tentunya dapat menceriakan diri dan
memenuhi keperluan rumah tangga.
Itulah pentingnya mencari rezeki halal dengan
berpegang teguh kepada segala peraturan, prinsip dan nilai sebagaimana
digariskan Islam. Mudah-mudahan dengan bekerja bersungguh-sungguh mencari
rezeki halal itu kita sentiasa berada dalam kebahagiaan dan ketenangan lantaran
dilimpahi rahmat dan berkat ALLAH sentiasa.
Sumber : http://www.sinarharian.com.my/karya/amanah-bekerja-bawa-berkat-1.233979
Comments
Post a Comment